Masjid Dijadikan Kedai Arak


Sheikh Raed Salah. Nama yang paling digeruni rejim Israel. Aktivis dan ahli politik Palestin ini pernah menjadikan dirinya sebagai perisai manusia untuk menghalang orang Yahudi memasuki dan mencemari kesucian Masjid Al-Aqsa. Beliau juga pernah dipenjarakan dua tahun oleh Israel kerana keberaniannya berjuang mempertahan tanah air. Sheikh Raed yang berada di Malaysia sejak 4 September lalu, menceritakan situasi sebenar dan penderitaan luar biasa orang Palestin yang bermula sejak 1948, selepas penubuhan negara haram Israel di atas bumi Palestin.

Ikuti sesi soal jawab bersama tokoh hebat ini ketika majlis ramah mesra yang dianjurkan pertubuhan Aman Palestin di Shah Alam, awal bulan ini.

Bagaimana keadaan di Palestin dulu dan sekarang?


Sejak 1940-an, Israel memusnahkan 1,200 masjid dan tempat bersejarah Islam. Kini, hanya 50 masjid masih ada di Tebing Barat. Tetapi Israel mengubah masjid tersebut menjadi kedai arak, pub dan kandang haiwan.Ada juga yang dijadikan tempat tari menari, synagogue (tempat ibadat Yahudi) dan muzium yang diletakkan patung Yahudi.

Mereka mencabuli kesucian masjid kita! Selain itu, Israel membongkar kubur orang Islam, membuang tulang ke dalam laut kemudian mendirikan rumah serta jalan raya.Di Tel Aviv, ada taman dan hotel yang cantik, semuanya dibina di atas kubur orang Islam. Kalau ini bukan kezaliman, maka apa lagi? Baru-baru ini kami membuat demonstrasi selepasUniversiti Tel Aviv mengumumkan akan membina bangunan tambahan di atas kubur orang Islam. Saya tanya kepada mereka, tamadun apa yang benarkan kita aniaya orang mati?

Berapa banyak tanah yang masih dimiliki orang Palestin?

Kini, hanya tiga peratus tanah Palestin dimiliki orang Islam, selebihnya dirampas Yahudi dengan bantuan Britain (yang menjajah Palestin sebelum 1948). Ribuan orang Islam Palestin hidup di antara langit dan bumi.Israel mencabut pokok zaitun kami, dan gunakan pesawat untuk bakar kebun kami. Kalau anda nak tahu, ada sebuah kampung di Naqab, Tebing Barat, yang telah dihancurkan 40 kali oleh Yahudi. Setiap kali dimusnahkan, kami bina semula.Itulah pendirian orang Palestin, kami tidak akan menyerah kalah.

Bagaimana keadaan Masjid Al-Aqsa sekarang?

Sejak akhir kurun ke-18 lagi, (Perdana Menteri pertama Israel) David Ben Gurion berkata, tiada nilai bagi Israel tanpa Baitulmaqdis, dan tiada nilai bagi Baitulmaqdis tanpa Masjid Al-Aqsa.Kini Israel mahu umumkan pembahagian Al-Aqsa, satu kepada Palestin, satu kepada Yahudi. Apabila mereka dapat bahagian mereka dengan sokongan dunia antarabangsa, mereka akan runtuhkan Al-Aqsa.Saya mahu sampaikan tiga mesej penting kepada orang Islam seluruh dunia mengenai Al-Aqsa:

i. Isu Al-Aqsa adalah isu al-Quran. Jika kita baca al-Quran, kita tahu Al-Aqsa perlu dipertahankan.

ii. Isu ini bukan hanya milik Palestin, tetapi semua orang Islam. Tentu kita tidak benarkan orang menceroboh masuk rumah kita, jadi begitulah kita perlu pertahan Al-Aqsa.

iii. Kita tahu Israel ada semua kekuatan tetapi mereka akan kalah. Sejarah menunjukkan setiap penjajahan ke atas Al-Aqsa gagal. Yang kekal adalah orang Palestin, pemilik sebenar tanah itu.


Israel memberitahu dunia Masjid Al-Aqsa dibina di atas tapak kuil paling suci ajaran Yahudi. Apa pendapat anda?
Mengenai dakwaan itu, Israel sendiri telah mengorek terowong selama 40 tahun untuk buktikan kewujudan kuil itu yang kononnya berada di tapak Al-Aqsa, tetapi sampai sekarang mereka tidak temui sebarang bukti.Ya, cita-cita akhir mereka adalah untuk membina kuil itu (dianggap tempat beribadat paling suci dalam ajaran Yahudi) selepas meruntuhkan Al-Aqsa. Matlamat ini tidak pernah berubah.

Apabila wakil Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pergi melawat Al-Aqsa, Unesco melaporkan Israel menggali jaringan terowong di bawah Al-Aqsa menggunakan bahan kimia. Tujuan utama adalah untuk runtuhkan Al-Aqsa.

Anda pernah ditahan di penjara Israel. Boleh kongsi pengalaman?

Pada masa ini, Israel sedang penjarakan lebih 500,000 orang Palestin. Ada yang syahid semasa dalam tahanan, ada yang mati ketika disiasat atau akibat sakit. Ada wanita hamil ditahan sehingga melahirkan anak di dalam penjara.Kanak-kanak yang umurnya kurang 10 tahun juga dipenjarakan. Mana ada penjara di dunia yang menahan kanak-kanak? Hanya Israel yang buat begitu.

Lelaki yang dipenjarakan seumur hidup tidak mungkin dapat berjumpa keluarganya. Mereka hanya akan jumpa anak mereka, apabila anak itu juga dipenjarakan kerana menentang kezaliman Israel.

Revolusi dunia Arab tahun lalu, apa kesannya kepada Palestin?

Apabila orang Arab mendapat pemerintahan yang sah, dipilih oleh rakyat sendiri, ia akan membantu membebaskan Palestin dan Al-Aqsa.Israel sebolehnya mahu semua diktator ini kekal di bumi Arab supaya mereka boleh mengawal orang Arab daripada memberi bantuan kepada Palestin.Tetapi kini rakyat Arab telah bebas, dan mereka ini akan mainkan peranan membantu Palestin. Pembebasan Kaherah dan Damsyik adalah jalan kepada pembebasan Palestin.

Bagaimana layanan kerajaan Mesir terhadap Palestin sekarang?

Mohamed Morsi adalah presiden pertama dipilih rakyat dalam sejarah Mesir. Beliau berdepan banyak masalah besar, seperti kemiskinan, pengangguran dan tekanan daripada tentera.Morsi juga terpaksa berdepan dengan perjanjian lalu yang ditandatangani presiden sebelum ini. Saya percaya beliau boleh lakukan perubahan bukan saja untuk Mesir tetapi dunia Arab kerana dia mempunyai akhlak yang baik serta bijaksana.

Ini tentu sekali akan memberi kesan positif kepada Palestin, terutama wilayah Gaza. Namun buat masa ini, kita perlu beri peluang kepada beliau untuk menyelesaikan lebih banyak masalah besar di negaranya sendiri.


Pendapat mengenai peranan dunia Islam dalam membantu Palestin.

Saya banyak kali ke ibu pejabat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan cerita mengenai keadaan Palestin, Baitulmaqdis dan Al-Aqsa. Memang OIC mahu menolong dan janji akan tunai kewajipan untuk bantu Al-Aqsa.Cuma masalahnya, kita belum sampai tahap kesatuan Islam secara rasmi. Semua orang Islam cintakan Al-Aqsa dan mahu bantu, tetapi tiada dasar politik tetap di peringkat antarabangsa dalam kalangan negara Islam untuk sokong isu Palestin.

Tidakkah penyatuan orang Palestin sendiri menjadi kunci kepada penyelesaian konflik ini?

Ya, semua rakyat Palestin mahu Baitulmaqdis, termasuk Al-Aqsa, menjadi ibu negara. Tetapi Israel dan Amerika Syarikat (AS) telah berikan kesan buruk kepada rakyat Palestin.Mereka ingin gagalkan penyatuan Hamas dan Fatah (dua kumpulan Islam utama di Gaza dan Tebing Barat). Israel beri kata dua kepada Fatah, “sama ada kamu buat perjanjian dengan Hamas, atau kita hentikan perjanjian damai”.

AS dan Eropah pula kata “kamu berdamai dengan Hamas, kami hentikan bantuan”. Ini meletakkan kami dalam keadaan sukar. Apa yang pasti, penyatuan rakyat Palestin hanya akan tercapai apabila Fatah berani menolak tekanan Israel dan AS.

Nasihat anda kepada orang Malaysia.

Saya merasa tenang dan timbul perasaan harapan apabila tiba di Malaysia. Saya mahu kejayaan Malaysia dibawa kepada negara Islam lain dan dijadikan contoh.Hanya penyatuan umat Islam dapat memberi kekuatan kepada Palestin. Berpeganglah kepada tali ALLAH SWT dan jangan berpecah-belah.Apabila kita berpecah-belah, kehebatan umat Islam akan hilang dan agenda Zionis akan berleluasa di negara Islam.

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments :

Post a Comment