PAK HAJI SUDAH MENINGGAL DUNIA MUNCUL DI KEBUN
SERAM : PAK HAJI SUDAH MENINGGAL DUNIA MUNCUL DI KEBUN | Secara hakikatnya orang yang sudah meninggal dunia, tidak akan berada di dunia ini lagi. Apabila terputusnya roh dan jasad, maka orang tersebut akan berada di alam barzakh, maka terputus jugalah segala perhubungan kecuali 3 perkara yang ada disebutkan dalam hadtih rasulullah SAW. Kisah di bawah ini menceritakan tentang seorang wanita yang pernah berhadapan dengan situasi bertemu dengan orang yang sudah meninggal dunia. Jom baca kisah di bawah ini.
Disini Bermula
Saya terpanggil untuk menceritakan pengalaman yang saya anggap seram juga. Entahlah pada orang lain seram ke tak. Saya melalui kisah ini pada tahun 1989 di kampung bapa saya iaitu di Batu Pahat, Johor. Ketika itu arwah atok dan nenek saya masih ada.
Kampung saya ni, sepanjang jalan ke rumah atok saya, jalannya kiri dan kanan ada ladang kelapa sawit dan pokok getah. Rumah penduduk kampung semuanya jauh berselang dengan kelapa sawit dan pokok-pokok getah. Susah nak tengok rumah yang berdekatan atau bersebelahan. Untuk sampai ke rumah atok saya, jarak dari jalanraya utama lebih kurang 2 kilometer. Dekat dengan rumah atok saya cuma ada tiga buah rumah jiran, itu pun dikelilingi pokok-pokok besar. Lepas 300 meter baru jumpa rumah yang lain.
Kisah ini berlaku tika saya baru habis SPM dan dihantar oleh ibu bapa saya ke rumah atok dan nenek untuk bercuti sambil menemani mereka. Masa itu makcik saya dan anak-anaknya pun ada tinggal bersama atok dan nenek saya. Ibu dan bapa saya berpesan supaya saya tinggal untuk beberapa minggu, supaya atok dan nenek saya gembira sebab saya cucu kesayangan mereka.
Setiap petang saya suka keluar berlari-lari anak di sepanjang jalan kampung. Saya akan keluar bersama sepupu saya. Sebelum Maghrib saya akan balik ke rumah, sebab atok saya dah pesan, jangan sampai Maghrib, bahaya! Sebagai anak gadis sudah pasti saya akan pulang awal. Tiga hari berturut-turut saya berlari-lari anak, tak ada apa-apa berlaku. Pada hari keempat, saya tak pergi berlari-lari anak kerana makcik saya mengajak saya pergi ke kedai di luar kampung. Kedai di kampung ini jauh, di jalan utama. Jadi saya dan makcik saya pun keluar ke kedai dengan menaiki motor.
Pada awalnya kami memang nak balik awal sebelum Maghrib, tapi ketika balik dari kedai, makcik saya terpaksa singgah di rumah ibu saudaranya yang juga nenek saudara saya yang tinggal tidak jauh dari kedai yang kami pergi. Oleh kerana terlalu asyik berbual, makcik saya tak perasan yang waktu sudah lewat! Dah nak masuk Maghrib! Saya terus cuit makcik saya, ajaknya balik. Makcik saya pun minta izin untuk pulang.Saya minta izin makcik saya, saya yang nak bawa motor tu dan suruh makcik saya bonceng di belakang. Makcik saya mengiakan saja. Masa itu saya bawa motor laju sebab dah lewat.
Hari makin kelam. Tika hampir sampai di rumah atok, kami ada melalui satu kawasan kelapa sawit seorang Pak Haji ni. Namanya biarlah saya rahsia kan, cuma gelarkan “Pak Haji” saja. Dari jauh saya ada ternampak seorang lelaki tua dalam lingkungan umur 60-an tahun, kalau tak silap sayalah. Lelaki itu sedang berjalan masuk ke kebun kelapa sawit di sebelah kiri jalan yang kami lalui itu.
Saya masih teringat apa yang dia pakai tika itu, baju Pagoda putih, kain pelikat lusuh dan tali pinggang hijau yang slalu orang-orang tua pakai. Ketika saya dan makcik saya sampai di kawasan yang Pak Haji tadi masuk, saya dan makcik saya tengok ke arah itu, kami tak nampak apa-apa pun. Tapi saya tak kisah, sebab pada fikiran saya mungkin Pak Haji itu berjalan cepat, kemungkinan dia nak cepat ke surau (mungkin). Terus saya menunggang motor hingga ke rumah atok saya.
Sampai di rumah, atok membebel kenapa kami lambat sampai, makcik pun ceritalah apa sebabnya. Lepas tu makcik saya terdiam. Selepas sepuluh minit berlalu, makcik saya bertanya pada saya, adakah saya ternampak orang yang masuk ke dalam kebun kelapa sawit tadi. Saya pun menjawab, “Ada…” Makcik saya terkejut! Perbuatan makcik saya itu membuatkan atok saya bertanya kenapa. Begitu juga saya. Terus makcik saya menjawab Pak Haji balik tengok kebunnya. Atok saya tersenyum, saya pula tertanya-tanya. Tapi nenek saya pula yang membebel. Saya tanya kenapa.
Nenek saya pun menjawab Pak Haji itu dah meninggal enam bulan yang lalu. Ketika itu juga bulu roma saya semuanya berdiri, terus saya masuk rumah, tutup semua tingkap dan pintu. Sejak hari itu saya tak keluar berlari-lari anak lagi. Saya telefon ibu bapa saya suruh balik kampung dan ambil saya balik. Tak sampai seminggu terus saya balik kerana terlampau takut, dan asyik terbayang-bayang… Oh tidak!!!…
Tapi kini kampung saya dah melalui banyak perubahan, dah makin ramai penduduk, dah ada macam-macam kemudahan. Alhamdulillah dah tak takut lagi.
Berkemungkinan apa yang wanita ini temui semasa berumur belasan tahun adalah qarin ataupun jelmaan makhluk halus yang menyerupai wajah seseorang. Kita perlu yakin bahawa orang yang sudah meninggal dunia, tidak akan boleh kembali ke dunia ini. Sebagai seorang manusia, akal kita terhad untuk memikirkan tentang alam ghaib yang penuh dengan misteri.
sumber:kurakura.my
0 comments :
Post a Comment